Sukarelawan membersihkan rumah penduduk ketika Misi Bantuan Selangor Penyayang : Bantuan Pembersihan Pasca Banjir Johor Darul Takzim di Kampung Jawa Baru Chaah, Johor pada 9 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor berkurang kepada 26,381 orang pagi ini

JOHOR BAHRU, 17 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor berkurang kepada 26,381 orang pada 8 pagi ini berbanding 28,008 orang direkodkan malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan semua mangsa daripada 7,418 keluarga ditempatkan di 95 pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat dan Segamat.

Menurut JPBN, Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 26,337 orang daripada 7,404 keluarga, manakala Segamat seramai 44 orang daripada 14 keluarga.

Cuaca diramal cerah di semua 10 daerah pada pagi ini selain tiada sungai berada pada paras bahaya.

Bagaimanapun, menurut JPBN lima jalan di Batu Pahat masih ditutup untuk kenderaan ringan kerana ditenggelami banjir dan hanya kenderaan berat dibenarkan melalui jalan tersebut.

Penutupan itu melibatkan Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung; Jalan Parit Jambi (Jambatan Parit Jambi); Jalan Haji Arif (Klinik Kesihatan Sri Medan); Jalan Parit Warijo (sepanjang jalan) dan Jalan Sri Bengkal (Kampung Sri Bengkal).

– BERNAMA


Pengarang :