Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Yong Peng membantu membersihkan rumah mangsa banjir ketika tinjauan di sekitar perkampungan di Yong Peng pada 13 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor menurun kepada 20,107 orang petang ini

JOHOR BAHRU, 18 MAC: Keadaan banjir di Johor terutamanya di daerah Batu Pahat dilihat semakin pulih, setelah air banjir di kawasan yang terjejas teruk seperti Parit Sulong, Yong Peng, Sri Gading dan Parit Raja, mulai surut.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negari (JPBN) memaklumkan, dua daerah iaitu Batu Pahat dan Segamat menyaksikan jumlah mangsa 20,107 orang yang ditempatkan di 77 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang tadi, berbanding 21,127 orang yang dicatatkan 8 pagi tadi.

“Batu Pahat masih merekodkan mangsa teramai dengan 20,083 mangsa daripada 5,743 keluarga di 75 PPS diikuti Segamat 24 mangsa daripada lapan keluarga,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Cuaca di semua 10 daerah sehingga petang ini dilaporkan cerah dan tiada sungai berada pada paras bahaya.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi satu hantaran berkata usaha untuk mengepam air giat dilaksanakan, untuk menangani masalah banjir termenung di daerah Batu Pahat.

Beliau berharap ia dapat ditangani terutama sebelum tibanya Ramadan, minggu depan.

– BERNAMA


Pengarang :