Anggota polis, bomba bersama agensi kerajaan lain membantu penduduk terjejas banjir di Kota Tinggi, Johor pada 2 Mac 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di lima negeri mencatatkan lebih 27,000 orang setakat pagi ini

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Sebanyak 27,467 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri terkesan banjir iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka, setakat pagi ini.

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir melonjak lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang pagi ini berbanding 9,162 orang pada 8 malam tadi dengan Batu Pahat menjadi daerah terbaharu terjejas daripada 10 daerah yang terlibat.

“Segamat daerah paling teruk terjejas dengan 2,050 keluarga dipindahkan ke 55 pusat pemindahan sementara (PPS), diikuti Kluang 1,559 keluarga di 39 PPS; Kota Tinggi 769 keluarga di 18 PPS; Johor Bahru melibatkan 607 keluarga di 12 PPS dan Pontian 58 keluarga di lima PPS,” menurut JPBN dalam kenyataan hari ini.

Agensi kerajaan membantu penduduk terjejas banjir di Kota Tinggi, Johor pada 2 Mac 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara

Di Muar 445 keluarga ditempatkan di 12 PPS; Kulai melibatkan 242 keluarga di enam PPS; Mersing 146 keluarga di lima PPS dan Tangkak 254 keluarga di 13 PPS serta Batu Pahat dengan 883 keluarga di 22 PPS.

Sebanyak 17 sungai di daerah Segamat, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing merekodkan bacaan melepasi tahap bahaya.

Antaranya, Sungai Muar di Segamat Kecil (Segamat) yang merekodkan bacaan 37.71 meter (m); Sungai Muar di Kampung Awat (Segamat) dengan 20.94m dan Sungai Siam (Kulai) berada pada paras 20.96m.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di lima daerah 1,375 mangsa daripada 374 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS pagi ini.

Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan Rompin mempunyai mangsa banjir teramai iaitu 627 orang diikuti Maran (489 orang), Jerantut (94 orang), Pekan (88 orang) dan Raub (77 orang).

Anggota polis, bomba bersama agensi kerajaan lain membantu penduduk terjejas banjir di Kota Tinggi, Johor pada 2 Mac 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata keseluruhan mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 704 mangsa daripada 197 keluarga di 10 PPS setakat 4 pagi tadi.

Beliau berkata ia membabitkan lima PPS di Tampin iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Londah, Balai Raya Pasir Besar, SK Sungai Kelamah, SK Gedok dan SK Agama Rakyat Felda Jelai 4; Jempol (SK Felda Palong 7, SK Felda Palong 1 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sialang); Kuala Pilah (Dewan Desa Dangi dan SK Kuala Pilah).

Di Sabah, Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 108 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod pagi ini.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 67 orang daripada 21 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 22 mangsa daripada lapan keluarga pada 8 malam tadi.

JBPN Melaka dalam kenyataan pagi ini memaklumkan kesemua mangsa dipindahkan ke tiga PPS iaitu satu di PPS Balai Raya Bukit Tambun, Alor Gajah yang menempatkan empat mangsa daripada dua keluarga.

“Di Jasin, 32 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan dan 31 mangsa daripada lapan keluarga di SK Chohong.

– BERNAMA


Pengarang :