Mangsa banjir dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Bau, Kuching pada 28 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Sarawak meningkat, 278 orang berlindung di PPS

KUCHING, 1 MAC: Jumlah mangsa banjir di daerah Kuching, Bau dan Siburan meningkat kepada 278 orang daripada 65 keluarga pagi ini berbanding 127 orang daripada 31 keluarga, petang semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, setakat pagi ini enam pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

PPS Surau Nur Hidayah Kampung Batu Kitang Jaya di Kuching menempatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 124 orang daripada 26 keluarga manakala PPS SJK Chuang Hua Batu Kawa, Kuching (76 mangsa daripada 17 keluarga) dan PPS Dewan Serbaguna Batu Kitang Jaya, Kuching (22 mangsa daripada lima keluarga).

Di Bau, PPS Dewan Datuk Seri Mohammad Hamdan, Balai Bomba Bau menempatkan 20 mangsa daripada lapan keluarga dan PPS Balai Raya Kampung Opar menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga.

Di Siburan, PPS Dewan Serbaguna Kampung Mundai pula menempatkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga.

Banjir melanda kawasan Kuching dan Bau selepas hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

— BERNAMA

 


Pengarang :