Beberapa kenderaan meredah banjir ketika tinjauan di Jalan Utama Yong Peng ke Muar, Johor pada 9 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di tiga negeri menurun kepada 40,205, Sarawak pulih

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus menunjukkan penurunan kepada 40,205 orang setakat petang ini berbanding 41,154 orang pagi tadi manakala keadaan banjir di Sarawak pulih sepenuhnya.

Di Johor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 40,005 orang setakat 4 petang berbanding 40,847 orang direkodkan pada 8 pagi tadi susulan penutupan lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan penutupan PPS tersebut menjadikan 128 PPS yang masih beroperasi di empat daerah, setakat ini.

Menurut JPBN, Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 39,158 daripada 10,924 keluarga; diikuti Muar dengan 548 mangsa (170 keluarga); Segamat 212 orang (56 keluarga) dan Tangkak 87 mangsa (15 keluarga).

Tiga sungai di Batu Pahat masih melepasi aras bahaya iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok yang kini pada paras 19.42 meter (m), Sungai Senggarang di Senggarang (3.63m) dan Sungai Simpang Kiri di Sri Medan (2.41m) selain Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang mencatatkan bacaan 3.45m.

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin berkurangan pada tengah hari ini kepada 145 orang berbanding 155 orang pagi tadi.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Jasin terus berkurang kepada 55 mangsa daripada 13 keluarga pada 2 petang ini berbanding 61 mangsa daripada 14 keluarga pada 8 pagi.

Sementara di Sarawak, Sekretariat JPBN melaporkan tiada lagi mangsa banjir di dua PPS iaitu Dewan Sinaran Lumut dan Dewan Kampung susulan penutupan PPS tersebut setakat 3 petang.

– BERNAMA


Pengarang :