Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan Watikah Perlantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Masjid perlu ada kelengkapan ICT, rekod dan pantau aktiviti ceramah

KLANG, 2 MAC: Pengurusan masjid diminta memperuntuk sejumlah dana bagi menyediakan kelengkapan teknologi maklumat (ICT) yang mampu merekod dan memantau aktiviti ceramah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah langkah itu membolehkan pihak pengurusan melihat perjalanan ceramah selain merujuk semula kandungan program jika diperlukan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kelengkapan ICT turut memanfaatkan kariah yang tidak hadir ke masjid kerana boleh melihat ceramah secara langsung secara maya.

“Teknologi ini membolehkan masjid membekalkan data kepada agensi agama seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

“Mais juga boleh memantau dan menyemak laporan kewangan masjid serta surau dengan kaedah dalam talian. Ini boleh mengelakkan penyelewengan,” titah Baginda pada istiadat pengurniaan watikah kepada nazir dan imam di Istana Alam Shah di sini.

Dalam pada itu, Sultan Selangor menegaskan program memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh individu yang mempunyai tauliah Mais.

Baginda bertitah penceramah luar negara pula hanya dibenar menyampaikan kuliah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya.

 

 


Pengarang :