Situasi Jalan Nitar Utama Mersing yang ditutup kepada semua kenderaan ketika tinjauan banjir di kawasan Mersing, Johor pada 4 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mayat wanita ditemukan dalam kereta selepas dihanyut arus banjir

MERSING, 7 MAC: Mayat seorang wanita ditemukan dalam sebuah kereta Perodua Myvi malam tadi, dipercayai hanyut dibawa arus deras di Jalan Nitar Utama di sini, pagi semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata mayat wanita berkenaan ditemukan dalam kereta itu pada pukul 10.19 malam ini, selepas keretanya ditemukan pada 6.55 petang tadi.

Beliau berkata kereta berwarna kelabu milik mangsa berjaya dibawa keluar dengan menggunakan peralatan “vehicle rockery system”, yang mengambil masa kira-kira 40 minit berikutan berdepan kesukaran akibat pokok-pokok yang menghalang.

“Kita berjaya menemukan mangsa setelah kereta berkenaan dibawa naik sebelum menyerahkannya kepada pihak polis pada 10.22 malam untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, kereta mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam keadaan terbalik pada jarak 15 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan penemuan mayat wanita itu, yang dipercayai pemandu Perodua Myvi yang dilaporkan hilang pagi tadi.

”Mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan pengecaman oleh ahli keluarga. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan berasingan, malam ini.

Pada kejadian kira-kira 6.49 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun itu, dipercayai dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang dan memandu di jalan raya yang telah dinaiki air sebelum dihanyutkan arus bersama-sama kereta yang dipandunya.

-BERNAMA


Pengarang :