Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan logo program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: 4,000 individu disasar sertai kursus asas asuh kanak-kanak

KUALA LANGAT, 5 MAC: Seramai 4,000 pengasuh disasar menyertai program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pendaftaran program yang terbuka kepada pegasuh pusat jagaan awal kanak-kanak negeri dan pusat jagaan tidak berlesan bakal dibuka dalam tempoh terdekat.

“IMPAK Selangor adalah program terbaharu Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dengan pengasuh tidak berdaftar terutama di rumah dibantu untuk mendapat lesen sebelum diberikan latihan.

“Kita anggarkan 4,000 pengasuh (berdaftar) tetapi mungkin angkanya bertambah. Pusat khidmat masyarakat diminta untuk kenal pasti (pengasuh) di kawasan kejiranan serta mendaftarkan mereka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bercakap selepas melancarkan logo IMPAK Selangor sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang Kuala Langat di Banting Waterfront di sini hari ini, Amirudin berkata pengenalan program itu mampu meningkatkan keyakinan ibu bapa berkerjaya untuk menghantar anak kepada pengasuh.

“Selain mewujudkan hala tuju industri jagaan di Selangor, kita dapat tangani isu penderaan kanak-kanak dengan trek rekod yang betul melalui program ini.

“Secara tidak langsung, semua pihak mendapat pembelaan iaitu pengasuh, ibu bapa dan anak-anak,” katanya.


Pengarang :