Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan perlumbaan pocket bike sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB beri bayangan pilihan raya negeri diadakan Julai atau Ogos ini

KUALA LANGAT, 5 MAC: Dato’ Menteri Besar memberi bayangan kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) diadakan pada Julai atau selewat-lewatnya Ogos ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang harus bersedia bagi menghadapi PRN terbabit.

“Semua orang tahu minggu ketiga atau keempat (Dewan Undangan Negeri bubar). Jadi orang sudah faham mungkin PRN (diadakan) Julai, maksimum Ogos.

“Kita beri bayangan kalau tak jelas pun tapi hampir-hampir jelas,” katanya ditemui selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Kuala Langat di Banting Waterfront di sini hari ini.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor turut memaklumkan kata sepakat untuk pembubaran DUN dicapai dalam mesyuarat bersama pimpinan lima negeri baru-baru ini.

“Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan negeri lain. Kita bincang hati ke hati dan masing-masing mengeluarkan pandangan serta dapatkan kata sepakat,” katanya.

Pada 22 Februari lalu, Amirudin berkata mereka mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023.

Persefahaman itu akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN.

 


Pengarang :