Interceptor berfungsi dangan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di Sungai Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB, EXCO pastikan projek pulih Sungai Klang telus

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 1 MAC: Penyertaan Dato’ Menteri Besar dan EXCO infrastruktur dalam syarikat memulihara Sungai Klang bertujuan memastikan projek Kerajaan Negeri dijalankan secara telus dan teratur, kata pengarah urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

“Kedudukan Dato’ Seri Amirudin Shari dan YB Ir Izham Hashim adalah mewakili kepentingan Kerajaan Negeri agar projek ini dapat dilaksanakan secara telus, teratur dan menepati matlamat Kerajaan Negeri,” kata Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan hari ini.

Syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, LLSB dilantik oleh Kerajaan Negeri pada 2018 bagi menjayakan Gerbang Maritim Selangor, iaitu projek pemuliharaan dan pembangungan pinggir Sungai Klang.

LLSB bekerjasama dengan Berjaya Hartanah Berhad bagi menubuhkan syarikat bertujuan khas Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) setelah mendapat kelulusan, termasuk Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menurut Syaiful Azmen lagi, selepas banjir besar pada hujung 2021, sesi libat urus mendapati projek pendalaman dan pelebaran 56 kilometer Sungai Klang menelan RM700 juta dalam tempoh lima tahun.

Kerja pendalaman bermula November 2022 yang memberi tumpuan kawasan kritikal, dari Kampung Bukit Lanchong hingga ke Taman Sri Muda, dan muara sungai dianggar memakan kos RM249 juta.

“Jumlah ini akan dibiayai melalui tanggungan premium tanah – tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh MBI.

“Setakat ini, projek ini tidak melibatkan sebarang suntikan tunai daripada Kerajaan Negeri seperti yang didakwa,” katanya lagi, mengulas dakwaan mengelirukan di akhbar dan media sosial.

Kerjasama anak syarikat MBI dengan Berjaya Hartanah Berhad dibuat susulan tiada syarikat lain menepati kriteria kerana keadaan tanah dan prasarana yang memakan kos pemulihan yang tinggi.

Tindakan diambil selepas 98 syarikat yang menghantar cadangan melalui Permintaan Untuk Cadangan (RFP) pada 2019 tidak mencapai rancangan pembangunan semula Sungai Klang.

“Susulan daripada itu, LLSB telah menerima cadangan daripada Berjaya Land Berhad untuk menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan Sungai Klang secara holistik yang bukan sahaja melihat pembangunan hartanah tetapi usaha – usaha pembersihan dan pemuliharaan,” kata Syaiful Azmen lagi.

Kenyataan penuh Landasan Lumayan: Landasan Lumayan jawab isu bangunkan Sungai Klang RM700 juta


Pengarang :