Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Kebenaran ceramah kuasa Jais, Kerajaan Negeri tidak masuk campur

KUALA LANGAT, 5 MAC: Kerajaan Selangor tidak campur tangan dalam keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung isu larangan penceramah bebas mengadakan ceramah di surau atau masjid negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan keputusan itu dibuat mengikut kearifan bidang kuasa bahagian pentauliahan jabatan terbabit.

“Hal-hal ini adalah hal teknikal sebab pendaftaran, pemeriksaan itu semua dikelolakan oleh Jais (melalui) Bahagian Pentauliahan dan biasanya mereka ada perinciannya.

“Jadi saya tidak campur sebab ini adalah kearifan bidang kuasa mereka,” katanya ditemui di Banting Waterfront di sini hari ini.

Beliau mengulas isu penceramah bebas Mohamad Wadi Annuar Ayub yang memaklumkan semua ceramahnya di Selangor dibatalkan, manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diteruskan.

Wadi Annuar menerusi Facebook hari ini memaklumkan dua ceramahnya pada bulan ini dibatalkan oleh Jais.

“Ustaz Mohamad Wadi kena tanya pengarah Jais… saya tidak pasti sebab program sedemikian bawah kelolaan Jais,” jelas Amirudin lagi .


Pengarang :