Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir ke Majlis Iftar Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor bersama komuniti barisan hadapan. Turut mengiringi Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pada 26 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Kerjasama pasukan keselamatan penting jamin keamanan negeri

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerjasama erat antara jabatan dan pegawai pelbagai peringkat pasukan keselamatan penting bagi memastikan keamanan terpelihara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu amat diperlukan dan harus diteruskan dari semasa ke semasa demi menjamin Selangor terus stabil dan makmur.

“Selangor saya selalu sebutkan sebagai sebuah negeri yang sangat berisiko, maknanya kalau kita gagal akan beri kesan buruk kepada seluruh negara kerana Selangor adalah antara pusat kegiatan ekonomi, pusat pendidikan tinggi terbesar malah pintu keluar masuk negara.

“Sebab itu saya percaya kerjasama erat semua pihak dan juga kesediaan untuk bekerjasama serta bantu membantu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Iftar Perdana Dato’ Menteri Besar bersama barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor semalam.

Amirudin turut memberi jaminan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pasukan keselamatan dan beruniform tanpa kompromi.

“Begitu tinggi komitmen kita dan diharap kerjasama erat dapat diteruskan demi menjamin keadaan aman dan stabil.

“Walaupun berlaku perubahan kepimpinan di negara tetapi kita bersyukur semuanya berjalan dalam keadaan aman dan stabil tanpa keriuhan atau rusuhan walaupun berlaku perseteruan politik yang sangat tajam khususnya tiga empat tahun kebelakangan ini.

“Namun saya melihat bahawa budaya masyarakat kita masih lagi dikawal dengan tenteram dan itu semua wujud dengan kewujudan pasukan uniform dan pihak berkuasa yang disegani dan dihormati serta mampu laksanakan tugas dengan aman dan adil berdasarkan landasan undang-undang negeri dan negara kita,” katanya.


Pengarang :