Penduduk bergambar bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika bersarapan di Medan Selera MBPJ, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB kunjungi pasar pagi Taman Medan, dekati penduduk setempat

PETALING JAYA, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar beramah mesra dengan peniaga dan penduduk setempat di pasar pagi Taman Medan, Jalan PJS 2 sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Petaling di sini, pagi ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang menunggang motosikal tiba di pasar pagi kira-kira 8 pagi dan meluangkan masa hampir 30 minit melawat gerai jualan seperti ikan segar dan buah-buahan.

Ketibaan beliau di pasar pagi itu menerima sambutan apabila peniaga dan penduduk bersalaman dan mahu berswafoto bersama.

Kehadiran Amirudin diiringi Pegawai Daerah Petaling Dato Mohd Jusni Hashim; Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir dan wakil rakyat iaitu Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan) dan Halimey Abu Bakar(Seri Setia).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat subuh di Masjid Nurul Ehsan, Jalan PJS 2, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin menunaikan solat Subuh berjemaah bersama penduduk Masjid Nurul Ehsan dan meluangkan masa bersarapan di Medan Selera Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Jalan 12.

Sementara itu, salah seorang peniaga medan selera, Sharifah Simat, 65, berkata beliau amat teruja dan gembira apabila persatuan peniaga memaklumkan kehadiran Menteri Besar untuk bersarapan di kedainya serta mahu mencuba mee jawa.

“Saya dan suami sebenarnya bercuti sejak Isnin kerana tidak sihat tetapi pada Khamis lalu persatuan peniaga memaklumkan bahawa MB Selangor hendak datang dan mahu makan mee jawa.

“Perasaan gembira dan terharu kerana mee jawa ini merupakan resipi turun temurun sejak kami berniaga selama hampir 40 tahun,” katanya.

JKSP yang dahulu dikenali sebagai Jelajah Selangor Penyayang (JSP) minggu ini diteruskan di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Puchong semalam dan hari ini di padang permainan PJS 2D/16, Desa Mentari 3, Blok 11.

Jelajah tersebut akan diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya pameran, jualan makanan, saringan kesihatan, dialog awam, sukan rakyat dan Jelajah Ehsan Rakyat.

Fasa pertama JKSP membuka tirainya pada 18 Februari di Klang yang dihadiri Dato’ Menteri Besar manakala Rumah Terbuka Aidilfitri dan Rewang Sekampung mulai 28 April hingga 14 Mei.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengunjung pasar pagi Taman Medan, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :