Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) melancarkan inisiatif Bakul Rahmah peringkat negeri di Kuala Selangor pada 25 Mac 2023. Hadir sama Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, EXCO Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dan ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB lancar inisiatif Bakul Rahmah, sasar 11,000 ketua isi rumah terima manfaat

KUALA SELANGOR, 25 MAC: Dato’ Menteri Besar melancarkan inisiatif Bakul Rahmah peringkat negeri yang dijangka memanfaatkan seramai 11,000 ketua isi rumah di 22 Parlimen.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai permulaan, inisiatif tersebut mula diagihkan hari ini di empat Parlimen iaitu Hulu Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Gombak.

“Menerusi Program Payung Rahmah, kita sasar 500 penerima setiap parlimen di Selangor terima manfaat Bakul Rahmah dalam usaha kita meringankan beban orang ramai terutama pada bulan Ramadan.

“Agihan bantuan secara sekali beri ditentukan ahli parlimen dan ahli dewan negeri (ADN) yang mempunyai senarai layak,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran dan simbolik penyerahan Bakul Rahmah di sini, hari ini. Turut hadir EXCO Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni, ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi lori Bakul Rahmah peringkat Selangor di Kuala Selangor pada 25 Mac 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII

Terdahulu, Amirudin menyerahkan Bakul Rahmah kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan dan beberapa wakil penerima sekitar Kuala Selangor.

Februari lalu, menteri kos sara hidup memaklumkan seramai 37,373 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara bakal menerima bantuan keperluan asas menerusi inisiatif Bakul Rahmah.

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata usaha bawah program Payung Rahmah bernilai RM100 menyasar golongan B10, iaitu miskin tegar berpendapatan kurang RM2,500.

Jelasnya, inisiatif tersebut melibatkan kerjasama rakan strategik, pasar raya, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Pengarang :