Dato’ Menteri Besar Dato’ Ser Amirudin Shari berucap pada Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Kali ke-21 bagi sesi 2022 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 11 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB rai pelajar akademi al-Quran, seru amal isi kitab suci dalam kehidupan

Oleh Sheeda Fathil

SHAH ALAM, 11 MAC: Seramai 154 pelajar Akademi Literasi Al-Quran berjaya menamatkan pengajian dan dirai menerusi Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Kali ke-21 bagi sesi 2022.

Majlis itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Amirudin menerusi ucapannya menzahirkan tahniah kepada seluruh pelajar dan menyeru mereka untuk terus mendalami isi kitab suci berkenaan.

“Kejayaan majlis ini tidak diukur dengan pemberian sijil semata-mata, tetapi mesti diukur melalui keupayaan melahirkan masyarakat yang bertamadun, berakhlak mulia, ikhlas dan seterusnya dapat menyebar luaskan ilmu al-Quran kepada orang ramai.

“Dalam usaha menimba ilmu, sudah tentu pelbagai cabaran dan ujian yang harus ditempuhi oleh semua pelajar namun dengan kesungguhan yang tinggi serta pengorbanan yang besar, hari ini kita meraikan mereka,” katanya.

Amirudin berkata Selangor sentiasa komited memartabatkan pengajian al-Quran dengan meletakkannya sebagai agenda utama selain menjadikan masjid sebagai hub pembelajaran kitab suci.

“Kepentingan mempelajari al-Quran, memahami isi kandungannya dan mampu mengamalkannya dalam kehidupan bermasyarakat merupakan tuntutan dalam melahirkan masyarakat Madani,” katanya.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Jais menubuhkan Akademi Literasi al-Quran bagi melahirkan umat Islam mahir membaca, mengajar, mengamal dan mempersenikan kitab suci.

Akademi itu dilancarkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1444H/2022M.

Seramai 60 pensyarah dilantik bagi memberdaya pembacaan al-Quran berpandukan riwayat Hafs ‘An ‘Asim melalui Toriq Syatibiyyah.


Pengarang :