Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor gerak misi bantuan pembersihan pascabanjir ke Johor

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan Negeri menghantar pasukan bagi misi bantuan banjir fasa kedua ke Johor hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang disertai anggota pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfokuskan usaha pembersihan pascabanjir di negeri selatan tanah air itu.

“Alhamdulillah seperti yang saya umumkan semalam, hari ini pasukan dari Selangor akan bertolak ke Johor bagi misi fasa kedua.

“Semoga dipermudahkan usaha ini Insya-Allah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Beliau memaklumkan misi itu melibatkan pasukan terdiri daripada Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, wakil dari setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor (Serve), Team Selangor dan KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama jentera serta lori pembersihan.

Pada 4 Mac lalu Kerajaan Negeri menggerakkan Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa pertama diketuai Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Muhammad Hanafi Ahmad menghantar pelbagai barangan keperluan asas ke Johor.

Barangan tersebut seperti makanan, minuman, kit kebersihan, pakaian dan lampin pakai buang dihantar ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (Zon Selatan), Muar bagi memudahkan urusan pengagihan kepada mangsa banjir.

Sebanyak 1,000 makanan dan 1,000 kit kebersihan diserahkan termasuk 418 bakul makanan, 200 kampit beras lima kilogram, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, selipar, pakaian dewasa dan kanak-kanak serta air mineral.


Pengarang :