Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi The Nippon Foundation Tan Sri Yohei Sasakawa selepas menerima kunjungan hormat di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam. pada 26 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB terima kunjungan rombongan yayasan Jepun, bincang kerjasama dua hala

SHAH ALAM, 26 MAC: Dato’ Seri Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Pengerusi The Nippon Foundation Tan Sri Yohei Sasakawa di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Berlangsung hampir sejam, pertemuan berkenaan turut dihadiri beberapa delegasi yayasan daripada Jepun itu.

Dato’ Menteri Besar berkata kunjungan itu membincangkan beberapa perkara termasuk potensi kerjasama dua hala yang boleh diteroka antara kedua-dua pihak membabitkan pelbagai bidang.

“Banyak kolaborasi boleh dikembangkan antara Jepun dan Selangor bukan hanya tertumpu kepada pelaburan tetapi juga dalam program pembangunan sumber manusia serta pimpinan yang ada dalam negeri dan negara.

“The Nippon Foundation dari Jepun merupakan institusi yang mendanai banyak kegiatan dan aktiviti sosial khususnya di Jepun serta peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata antara kerjasama boleh dibuat termasuk program pertukaran pemimpin dan pimpinan mengambil kira pelbagai isu hampir sama dihadapi kedua pihak terutama berkaitan masyarakat menua, pendatang atau warga asing yang bekerja serta perubahan sosial.

“Hal itu menjadi isu bersama yang mungkin sedikit berbeza (pendekatan mengikut negara) justeru sesuai dijadikan program pertukaran bagi mendapatkan pandangan kedua-dua pihak (berdasarkan pengalaman masing-masing).

“Contohnya, daripada segi pengurusan warga asing yang bekerja di sini bagi pandangan mereka, Malaysia lebih ke depan berbanding Jepun manakala daripada segi masyarakat menua kelihatan mereka mempunyai program jauh lebih rancak kerana sudah berdepan isu itu lebih awal.

“Jadi itulah yang dimaksudkan sesuai diadakan program pertukaran pimpinan untuk perkongsian kepakaran serta persefahaman berkaitan keperluan semasa dan isu yang perlu kita tangani segera,” katanya.


Pengarang :