Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI laksana program tradisi, agih 10,000 bungkus juadah sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 25 MAC: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyediakan 10,000 bungkus juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata makanan diagihkan di Bangunan Darul Ehsan di sini, mulai 3 petang pada setiap hari bekerja.

“Ini merupakan program tradisi Ramadan. Kali ini kita agih 500 bungkus sehari. Juadah bukan hanya diberi kepada kakitangan atau pekerja bangunan ini tetapi juga kepada pengunjung.

“Selain nasi berserta lauk dan sayur, bungkusan juga lengkap dengan air mineral dan buah. Kita ada tambahan bubur lambuk dan kurma setiap Jumaat,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini.

Pada 1 Mac, beliau memaklumkan MBI memperuntuk lebih RM2 juta bagi menyemarakkan program Ihya’ Ramadan tahun ini.

Bantuan meliputi sumbangan kepada masjid dan surau selain diagih kepada asnaf dan penganjuran program berbuka puasa bersama penduduk.

Sepanjang 2019 hingga tahun lalu MBI telah membelanjakan hampir RM8 juta kepada institusi agama merangkumi bantuan kepada pihak masjid sebanyak RM4.3 juta, surau (RM3.1 juta) dan sekolah rendah agama (RM1 juta).


Pengarang :