Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir (dua, kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah Khas Datuk Bandar Petaling Jaya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sanjungan Budi Pesara MBPJ di Dewan Sivik, MBPJ, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ hargai kakitangan, 153 terima anugerah kecemerlangan

PETALING JAYA, 22 MAC: Seramai 153 warga kerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi 2022 termasuk lima daripadanya merupakan kakitangan kontrak pembelian perkhidmatan (CFS) malam tadi.

Turut diberi pengiktirafan adalah lima kakitangan MBPJ yang menerima Anugerah Khas Datuk Bandar, dan seorang menerima Anugerah Khas Ketua Jabatan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ di sini.

Selain itu, seramai 33 kakitangan yang bersara pada tahun ini turut diraikan dalam majlis sanjungan budi pesara 2023 dan menerima sijil sebagai tanda penghargaan yang didahului Timbalan Datuk Bandar MBPJ Sharipah Marhaini Syed Ali.

Anugerah dan sijil disampaikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir diiringi Sharipah Marhaini dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBPJ Aznan Hassan.

Mohamad Azhan berkata pemberian anugerah kecemerlangan ini diadakan secara tahunan dan pengiktirafan kepada warga kerja atas sumbangan serta pencapaian cemerlang berdasarkan prestasi 2022.

“Namun, pemberian anugerah bukan sebagai pendorong dan pengiktirafan semata-mata tetapi penggerak sinergi serta perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan.

“Saya berharap semua warga kerja MBPJ sentiasa cuba meningkatkan ilmu dan kemahiran diri bagi menghasilkan perkhidmatan lebih cekap serta bermotivasi dan berdaya saing,” katanya dalam ucapan.

Dinobat sebagai PBT terbaik, Mohamad Azhan berkata pihaknya mahu memimpin rakan lain untuk terus menjadi penguat kuasa terbaik sekali gus bersama membaiki mutu pentadbiran.

“Penghargaan diberikan kepada MBPJ membuktikan bahawa kami berorientasikan prestasi dan konsisten untuk menjadi bandar raya maju.

“Terima kasih atas penganugerahan ini dan ucapan tahniah daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO dan rakan-rakan PBT lain,” jelasnya.


Pengarang :