Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Azhan Md Amir (dua kiri) menunjukkan tempat letak kereta dua jam selepas pelancaran di Jalan 52/2, Seksyen 52, Petaling Jaya pada 22 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ lancar petak parkir bertempoh dua jam, tumpu kawasan komersial

Oleh SHAMZ JOHAN

PETALING JAYA, 22 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan zon letak kereta bertempoh atau Zon Parkir dua jam di sini hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata pelaksanaan tempat letak kereta bertempoh tersebut dijalankan secara berfasa melibatkan jalan utama di Seksyen 52, SS21 (Damansara Utama) dan Seksyen 14.

“Fasa induk (pertama) melibatkan 50 petak parkir di Seksyen 52 iaitu di sepanjang Jalan 52/2 dan Jalan 52/4.

“Tempoh pelaksanaan pada 15 Mac lalu sebagai pengenalan dan pembelajaran kepada orang awam, manakala penguatkuasaan bermula 1 April,” kata Mohamad Azhan Md Amir.

Kriteria pemilihan lokasi berdasarkan kepada kadar penghunian (occupancy) yang tinggi dan kawasan tumpuan aktiviti komersial.

Mohamad Azhan berkata dua lokasi lain iaitu di SS21 dan pusat komersial di Seksyen 14 akan dilaksanakan pada akhir Mei nanti.

“Kita cuma tinggal proses mengenal pasti lokasi dan jumlah petak parkir yang akan digunakan sebelum pelaksanaan dijangka akhir Mei ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Azhan merasmikan gimik pelancaran Zon Parkir dua jam di perkarangan Jalan 52/2, Seksyen 52, Petaling Jaya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Azhan Md Amir (tiga kiri) sempena majlis pelancaran tempat letak kereta dua jam di Jalan 52/2, Seksyen 52, Petaling Jaya pada 22 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv; ADN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin; Ahli Majlis MBPJ Zon 16, Terence Tan Teck Seng dan Pengarah Jabatan Perbendaharaan MBPJ, Nik Nazli Nik Abdullah.

Zon Parkir dua jam beroperasi dari Isnin hingga Jumaat (8.00 pagi – 6.30 petang) dengan petak oren yang akan diseragamkan di semua pihak berkuasa tempatan. Kadar caj adalah 60 sen bagi setengah jam atau sebahagian.

Untuk rekod, tahun lalu, MBPJ mencatatkan kutipan yuran parkir RM15.4 juta melepasi sasaran ditetapkan sekali gus mencatat kutipan tertinggi bagi seluruh Selangor.


Pengarang :