Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir memberi kupon kepada pengunjung Bazar Ramadan Jalan PJS 1/30 pada 29 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ perkenal tema ‘Smart&Green’ bazar Ramadan, galak bayaran tanpa tunai

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 29 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan tema ‘Smart&Green’ di semua bazar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata inisiatif itu selaras hasrat Kerajaan Negeri melaksanakan usaha pendigitalan dan sifar karbon di Selangor.

“Tahun ini MBPJ galakkan peniaga supaya laksanakan sistem bayaran tanpa tunai dan gunakan plastik dari jenis biodegradasi di semua lokasi bazar Ramadan,” kata Mohamad Azhan Md Amir.

Beliau ditemui pemberita pada program lawatan ke bazar Ramadan dan Pelancaran Program ‘Moreh@PJ Love You’ di Jalan PJS 1/30 di sini, petang tadi.

Mohamad Azhan berkata bagi menggalakkan penggunaan tanpa tunai itu, pihaknya menyediakan 2,000 kupon bernilai RM15 setiap satu kepada pengunjung bazar Ramadan.

“Kupon ini diberikan kepada pengunjung adalah sebagai insentif untuk galakkan penggunaan tanpa tunai ketika membeli juadah di semua bazar Ramadan di Petaling Jaya,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan tanpa tunai di Bazar Ramadan Taman Sri Manja, beliau berkata kira-kira 60 peratus peniaga menggunakan platform tanpa tunai tahun ini.

 


Pengarang :