Oleh DIANA ABD WAHAB
PETALING JAYA, 30 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyedia petak khas di bazar Ramadan bagi membantu 34 peniaga tiada lesen menjana pendapatan.
Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata mereka yang berniaga di kawasan Petaling Jaya Selatan (PJS) ditempatkan di bazar Ramadan di Jalan Medan 9 mulai hari ini.
“Jika diikutkan mereka tidak boleh berniaga kerana tiada lesen, namun atas dasar prihatin kita bantu peniaga ini dengan sediakan petak khas di bazar Ramadan Jalan Medan 9.
“Malah peniaga juga akan dibawa mengikuti Program Pembangunan Usahawan Petaling Jaya bagi memastikan mereka mendapat maklumat mengenai ekonomi perkongsian (EP).
“Menerusi program yang giat dijalankan ini kita galakkan EP menerusi medium pemasaran dalam talian, perkhidmatan p-panggilan (rider) dan platform jualan dalam talian (e-dagang),” katanya.

Beliau ditemui pada program lawatan ke bazar Ramadan dan Pelancaran Program ‘[email protected] Love You’ di Jalan PJS 1/30 di sini semalam.
Menurut Mohamad Azhan, pihaknya menjalin kerjasama strategik dengan pengendali perkhidmatan tanpa tunai antaranya MaybankQR, BoostBiz, Plats Selangor dan Hijrah Selangor bagi menggalak inisiatif EP.
EP adalah satu ekosistem sosial berteraskan perkongsian aset yang menggunakan platform digital untuk mewujudkan nilai ekonomi melalui peningkatan penggunaan sumber di antara individu, perniagaan dan kerajaan.