Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md. Amir (empat, kiri) bergambar bersama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (lima, kiri) selepas menerima anugerah pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di Malaysia dalam sebuah majlis di Ipoh, Perak pada 11 dan 12 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBPJ terima penarafan lima bintang, dinobat PBT terbaik di Malaysia

SHAH ALAM, 14 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini dinobatkan sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di Malaysia bagi sistem penarafan bintang 2022.

Unit Komunikasi Korporatnya memaklumkan MBPJ berjaya mengekalkan penarafan lima bintang dengan markah tertinggi 98.32 peratus dalam kalangan 155 PBT di seluruh negara.

“MBPJ juga memperoleh penilaian tertinggi bagi tiga kriteria melibatkan perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan atau pandangan penduduk,” maklumnya dalam kenyataan.

Anugerah itu disampaikan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kepada Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md. Amir dalam sebuah majlis di Ipoh, Perak pada 11 dan 12 Mac.

Majlis Konvensyen PBT bertemakan Perbandaran Madani dan Negara Sejahtera dihadiri hampir 2,000 peserta meliputi Datuk Bandar, yang dipertua, setiausaha dan pegawai PBT seluruh Malaysia.

Konvensyen itu memberi peluang kepada semua peserta berkongsi pengalaman dan berbincang untuk mencari pendekatan serta penyelesaian inovatif dan kreatif dalam menangani isu pengurusan PBT.

 


Pengarang :