PBTSELANGOR

MBSA ajak orang ramai jayakan kempen Earth Hour sejam esok

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengajak orang ramai menyertai kempen Earth Hour yang diadakan esok selama sejam bermula 8.30 malam.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan penganjuran program tersebut sebahagian usaha membawa Shah Alam ke arah bandar raya rendah karbon.

“Sebagai tanda menyokong kempen Earth Hour, anda diminta untuk bersama-sama memadam lampu yang bukan lampu utama selama satu jam pada Khamis (23 Mac) dari 8.30 hingga 9.30 malam.

“Ayuh selamatkan bumi kita. Kongsikan gambar atau video Earth Hour anda dengan hashtag #EarthHour2023 atau #weloveshahalam,” katanya menerusi Facebook.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan kempen Earth Hour dalam usaha melestari alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim.

Menerusi usaha itu, bangunan Kerajaan Negeri termasuk seliaan PBT juga diseru melakukan tindakan sama dalam tempoh tersebut selain mengalu-alukan pembabitan sektor swasta.


Pengarang :