Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran sistem ePenjaja MBSA dan penyerahan permit bazar Ramadan 2023 di Pusat Konvesyen MBSA pada 7 Mac 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA: Jakel dibenar niaga di tapak sementara sebelah Hospital Shah Alam

SHAH ALAM, 7 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan permit kepada syarikat Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) untuk beroperasi di tapak sementara sempena musim perayaan ini.

Timbalan Datuk Bandar Ir Cheremi Tarman berkata cawangan gedung tekstil itu akan memulakan perniagaan di Persiaran Permai (bersebelahan Hospital Shah Alam) dalam tempoh terdekat.

“Ya, kita sudah beri kebenaran kepada Jakel melalui permit sementara selama dua tahun. Tapak itu merupakan tanah kategori pembangunan bercampur,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan sistem ePenjaja MBSA dan kempen pemakaian pelitup muka sempena penyerahan permit bazar Ramadan 2023 di Pusat Konvesyen MBSA di sini ,hari ini.

Januari lalu, Wisma Jakel di Seksyen 7 terbakar dan memusnahkan barangan jualan bagi persiapan bulan Ramadan dan hari raya Aidilfitri melibatkan kerugian ratusan juta ringgit.

Sebelum ini, Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata operasi perniagaan gedung kain itu tergendala dan pihaknya merancang mencari tapak perniagaan baru di sekitar Shah Alam.


Pengarang :