Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam pada 3 April 2022. Kerajaan Negeri mengumumkan penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran negeri ini mulai 1 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA pantau enam bulan pastikan peniaga makanan pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 7 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan pemantauan selama enam bulan bagi memastikan pengendali makanan mematuhi arahan pemakaian pelitup muka.

Timbalan Datuk Bandar Ir Cheremi Tarman berkata pemantauan dibuat sejak arahan tersebut dikuat kuasa pada 1 Januari lalu dan akan dilaksana secara mandatori pada Jun.

“Ketika ini kita masih lagi memantau dan menggalakkan peniaga makanan memakai pelitup muka. Bagaimanapun, selepas Jun MBSA akan menguatkuasakan arahan itu secara mandatori,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan sistem ePenjaja MBSA dan kempen pemakaian pelitup muka sempena penyerahan permit bazar Ramadan 2023 di Pusat Konvesyen MBSA di sini hari ini.

Bermula 1 Januari, MBSA menguat kuasa penggunaan pelitup muka kepada pengendali makanan dan menjadikan pemakaiannya sebagai syarat baharu lesen perniagaan tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran di Selangor.

Beliau berkata pendekatan itu dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :