Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan hadiah kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menang tempat ketiga Festival Taman Kuala Lumpur 2023 pada 9 Mac 2023. Foto MBSA
AGENDANASIONALPBTSELANGOR

MBSA raih tempat ketiga Festival Taman KL 2023, bawa konsep pembukaan Shah Alam

SHAH ALAM, 9 MAC: Pavilion Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang berkonsepkan ‘Memoirs of Shah Alam’ meraih tempat ketiga di Festival Taman Kuala Lumpur 2023, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merakamkan ucapan tahniah kepada MBSA atas pencapaian cemerlang pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Tahniah MBSA di atas pencapaian tempat ke-3 di Pertandingan Festival Taman KL. Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri.

“Semoga ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih cemerlang buat MBSA. Syabas!,” katanya di Twitter.

Sementara itu Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata jabatan landskap memilih konsep tersebut bagi menceritakan pembukaan Shah Alam sekitar 1963.

Menurut Shahrin Ahmad keadaan Shah Alam yang bermula kawasan ladang kelapa sawit sehingga menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri diterjemaah melalui elemen imej gambar yang digantung sepanjang pavilion.

“Selain itu kita menggunakan landskap dari pelbagai jenis bunga anggerik yang melambangkan indentiti Shah Alam sebagai bandar raya anggerik.

“MBSA turut menggunakan bahan buangan yang bole dikitar semula seperti paip PVC, kepingan kayu potong, ‘galvanised’ wire sebagai rekaan utama,” katanya.

MBSA menewaskan 13 PBT dari seluruh negara dan membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi serta sijil.

Hadiah disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :