PBTSELANGOR

MBSA tawar kompaun parkir serendah RM10 sepanjang Ramadan

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 21 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan kompaun tempat letak kereta serendah RM10 sepanjang Ramadan ini.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata pengurangan kompaun bagi Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSA 2007 itu bermula 23 Mac hingga 21 April ini.

“Turut mendapat pengurangan kompaun sehingga 70 peratus ialah beberapa kesalahan di bawah undang-undang kecil MBSA.

“Antara kompaun yang layak mendapat pengurangan adalah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman 2005, Undang-undang Kecil Penjaja 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar 2007,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Ujar Shahrin orang ramai boleh membayar kompaun di Kaunter Berpusat dan Kaunter Pandu Lalu Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14 di sini serta pejabat cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam.

“Untuk kompaun kesalahan tempat letak kereta, bayaran boleh dibuat melalui JomPAY dengan memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menjelaskan bayaran melalui Flexi Parking (Scan N Pay Compound), Maybank2U dan kaunter Bank Muamalat bagi kesalahan sama,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-
55222882 atau 03-55105133 sambungan 1657, 1203, 1656, 1295, 1531 dan 1522 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.


Pengarang :