Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid bergambar bersama pemenang pertandingan Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) sempena Majlis Apresiasi Zon Mini Zee Bee di Pusat Konvensyen MBSA di Seksyen 13 Shah Alam pada 18 Mac 2023. Foto Ihsan MBSA
PBTSELANGOR

MBSA teroka lokasi bersejarah, jadikan Shah Alam pusat tarikan pelancong

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 15 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneroka lokasi bersejarah di kawasan pentadbirannya dalam usaha menerapkan elemen warisan sejarah di bandar raya itu.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata inisiatif itu bertujuan menjadikan bandar raya itu sebagai lokasi tarikan pelancong.

“Dalam tempoh lima tahun iaitu pada 2028, kita akan raikan 50 tahun penubuhan Shah Alam justeru kita rasa wajar untuk ceritakan susur galur pembangunannya sebelum diiktiraf sebagai bandar raya.

“Shah Alam tidak capai status bandar raya maju secara tiba-tiba. Ada kesan peninggalan sejarah, ia asalnya adalah pusat tanaman sawit jadi kita mahu aktiviti perladangan sawit ini ditonjolkan.

“Dari situ masyarakat dapat lihat bagaimana dari ladang sawit Shah Alam mengalami evolusi, berkembang maju sehingga capai tahap sekarang,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui sempena Majlis Apresiasi Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) di Pusat Konvensyen MBSA, di sini, hari ini.

Dr Nor Fuad berkata pihaknya mengadakan banyak pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan lain di negara ini bagi melihat bagaimana agensi terbabit menonjolkan sejarah dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

Mengulas lanjut beliau berkata pihaknya juga akan mengiktiraf sumbangan Sungai Klang dalam pembangunan Shah Alam.

Selain itu kawasan kampung, rumah tradisi dan Empangan Sungai Air Kuning boleh ditonjolkan untuk dijadikan tarikan pelancong.

“Empangan ini dalam kawasan Taman Botani di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), ia dibangunkan 1930-an dan menjadi sumber air bagi penduduk daerah Klang ketika itu.

“Ia masih lagi teguh dan mungkin kita akan jadikan kawasan bersejarah yang mampu jadi tarikan pelancong namun ia perlu dibincangkan dengan dua pihak terbabit,” katanya.


Pengarang :