Pasukan MBSJ FC ketika menentang First 11 FC pada perlawanan suku akhir Liga Super Wanita FAS pada 10 Januari 2022. Foto Facebook Media Selangor
AGENDASUKANKINI

MBSJ FC, UPNM FC mara ke final, idam juarai Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 13 MAC: MBSJ FC dan UPNM FC mara ke pentas akhir Liga Super Wanita (WSL) anjuran Persatuan Bolasepak Selangor selepas menewaskan lawan masing-masing di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 11 Mac.

MBSJ FC terlebih dahulu layak, menewaskan Kelana United 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang permainan.

Ketua pasukan Steffi Sarge Kaur muncul wira MBSJ FC selepas menyempurnakan sepakan terakhir menewaskan penjaga gol Kelana United Farah Syakira Mohd Saad.

Sebelum itu, penjaga gol MBSJ FC Zawani Nisha Habib Rahman turut cemerlang menepis sepakan terakhir lawan yang gagal disempurnakan Nur Ainsyah Murad.

Sementara itu, Nurul Azurin Mazlan turut menjadi watak penting memastikan kemaraan UPNM FC ke perlawanan akhir ketika menewaskan FC Spicegals 4-3 menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol itu memanfaatkan kegagalan tonggak FC Spicegals Mira Fazliana Aidi menyempurnakan penalti apabila mudah menendang masuk sepakan keenam pasukannya.

Terdahulu, kedua-dua pasukan turut gagal menghasilkan sebarang jaringan dalam perlawanan separuh akhir kedua WSL.

Aksi cemerlang Zawani Nisha dan Nurul Azurin sepanjang penentuan sepakan penalti melayakkan mereka dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 19 Mac sempena Hari Bola Sepak Selangor.


Pengarang :