Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali berucap ketika Taklimat Bazar Ramadan MBSJ 2023 di Dewan Serbaguna Puchong Indah pada 9 mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ perintis bina pusat perlindungan anjing liar, bakal diperluas di semua PBT

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 21 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bakal membina pusat perlindungan anjing liar bagi memastikan haiwan itu tidak lagi berkeliaran dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan penduduk.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Zulkurnain Che Ali berkata pusat perlindungan berkenaan akan menjadi perintis sebelum dilaksanakan di semua pihak berkuasa tempatan lain.

“Projek di bawah Kerajaan Negeri ini merupakan antara penyelesaian untuk masalah anjing liar dan di MBSJ kita akan memilih satu daripada tiga lokasi yang telah dikenal pasti untuk bina pusat perlindungan tersebut tidak lama lagi.

“Kita juga telah pergi ke Pulau Pinang untuk melihat kaedah menangkap anjing liar menggunakan sangkar selain memikirkan kaedah yang sesuai untuk menangkap haiwan itu,’” katanya selepas Majlis Anugerah Komuniti Strata di Mardhiyyah Hotel and Suites di sini malam tadi.

Zulkurnain memohon kerjasama semua pihak untuk melaporkan lokasi anjing liar bagi memudahkan pihaknya membuat operasi tangkapan.

“Mungkin ada orang bagi makan kerana sifat sayangkan haiwan kerana pada anggapan mereka haiwan itu tidak mengganggu tapi ada sesetengah penduduk yang rasa terganggu seperti dikejar oleh haiwan itu atau bunyi salakan yang kuat.

“Memang ada kes dikejar dan digigit anjing tetapi mungkin kes terpencil tetapi bayangkan kalau yang kena kanak-kanak. Jadi saya nasihatkan jangan bagi makan anjing liar ini dan lapor kepada kami agar tindakan tangkapan boleh dibuat,’” katanya.


Pengarang :