Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali berucap ketika Taklimat Bazar Ramadan MBSJ 2023 di Dewan Serbaguna Puchong Indah pada 9 mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ seru penjaja kampung tradisi mohon permit niaga sementara

PUCHONG, 10 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyeru penjaja di kampung tradisi untuk memohon permit niaga sementara bagi tempoh tiga bulan dengan kadar RM30 sebulan.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Zulkurnain Che Ali berkata permit penjaja akan diberi selagi mana lokasi perniagaan tidak melanggar peraturan dan menimbulkan halangan atau kesesakan lalu lintas.

“Kita mahu mereka (penjaja) punyai lesen supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) ada data dan lebih selamat. Permohonan dan pembayaran permit adalah secara dalam talian.

“MBSJ hanya menetapkan beberapa syarat minimum antaranya wajib mendapat suntikan bagi peniaga makanan atau minuman dan mesti orang tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival dan Taklimat Bazar Ramadan MBSJ di Dewan Serbaguna MBSJ, Puchong Indah di sini semalam.

Menurut Zulkurnain, pihaknya turut menumpukan pemberian permit sementara kepada peniaga memiliki premis atau struktur kedai dengan tempoh lesen selama enam bulan dan kadar adalah mengikut jenis perniagaan.

“Lanskap ekonomi semasa di kampung tradisi terdiri daripada aktiviti penjaja jalanan, kedai runcit, gerai atau warung makanan dan kedai dobi serta bengkel membaiki kenderaan.

“Justeru, usaha Jabatan Pelesenan MBSJ ini bertujuan mendukung dasar kerajaan persekutuan dalam memperkasakan kumpulan peniaga atau penjaja berpendapatan rendah (B40) supaya tiada yang ketinggalan,” katanya.

Bermula Ogos 2020, PBT negeri ini bermula dari Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya B40 yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.


Pengarang :