PUCHONG, 9 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menambah 10 lokasi bazar Ramadan tahun ini menjadikan keseluruhan 26 kawasan.
Timbalan Datuk Bandarnya Zulkurnain Che Ali berkata penambahan itu bagi memberi ruang dan peluang perniagaan kepada usahawan mikro menambah pendapatan.
“Tambahan lokasi ini juga dibuat selepas MBSJ mendapat permintaan tinggi daripada penjaja yang mahu berniaga ketika Ramadan.
“Justeru, dengan penambahan (bazar) sekali gus dapat memberi ruang kepada komuniti bandar raya untuk membeli juadah berbuka di lokasi bazar yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival dan Taklimat Bazar Ramadan MBSJ di Dewan Serbaguna MBSJ, Puchong Indah di sini hari ini.

Zulkurnain berkata pelbagai pengisian diadakan sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung antaranya taklimat pematuhan kepada pengendalian makanan, amalan kitar semula dan pengurusan sisa.
“Platform ini turut digunakan bagi memperkenalkan syarat berniaga di bazar Ramadan termasuk arahan tatacara operasi piawai (SOP) dan pendedahan mengenai urus niaga tanpa tunai,” katanya.
Berikut merupakan 10 lokasi baharu bazar Ramadan MBSJ :
– SS 13/1A, Subang Jaya (Tapak Parkir Dataran Millennium)
– TK4, Taman Kinrara (Jalan TK 4/5)
– Jalan LEP 1/1C, Lestari Putra
– Kampung Tengah (Jalan Kempas)
– Persiaran Saujana Puchong
– Pangsapuri Sri Begonia
– Bukit Langchong (Jalan Besar)
– Jalan LP 7/2, Taman Lestari Perdana
– Jalan Putra Permai Selesa
– Taman Serdang Raya (Hadapan Masjid Serdang Raya)