Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM, 27 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma bagi kawasan perumahan teres sempena Aidilfitri.
Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata perkhidmatan kutipan dilaksanakan KDEB Waste Management (KDEBWM) selama 15 hari mulai 4 hingga 18 April.
“Kategori kutipan sampah pukal seperti tilam dan perabot lama. Sampah ubah suai rumah, pindah rumah, barangan elektrik serta barang kitar semula tidak termasuk dalam perkhidmatan ini.
“Keutamaan diberikan kepada penduduk yang menyambut Aidilfitiri,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau permohonan perkhidmatan boleh dibuat melalui KDEBWM di talian 03-8081 4437 atau WhatsApp (011-3558 4437) mulai 3 hingga 10 April.
“Pemohon akan dihubungi KDEBWM bagi menetapkan tarikh kutipan dan dikehendaki meletakkan sampah pukal di hadapan rumah,” tambahnya.