Rakan Sinergi menerangkan penggunaan kod QR kepada peniaga bazar Ramadan selepas Taklimat Bazar Ramadan MBSJ 2023 di Dewan Serbaguna Puchong Indah pada 9 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ wajibkan peniaga bazar Ramadan laksana sistem bayaran tanpa tunai

SUBANG JAYA, 9 MAC: Peniaga bazar Ramadan bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diwajib melaksanakan sistem bayaran tanpa tunai bagi kemudahan pelanggan.

Timbalan Datuk Bandarnya Zulkurnain Che Ali berkata peniaga juga perlu mempamer jenis saluran bayaran yang boleh digunakan untuk mempercepat proses jual beli dan lebih selamat.

Beliau memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan menyemak dan memantau secara berkala di setiap gerai bagi memastikan peniaga mematuhi arahan tersebut.

“Saya harap ramai (peniaga) mengambil inisiatif ini kerana ia lebih cepat, mudah dan selamat berbanding perlu menyimpan tunai yang boleh mengundang kecurian,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Karnival dan Taklimat Bazar Ramadan MBSJ di Puchong Indah turut mengingatkan peniaga untuk tidak menggunakan bekas polisterina dan penyedut minuman plastik.

Dalam pada itu, Zulkurnain berkata seramai enam peniaga berminat untuk menjual Menu Rahmah di bazar Ramadan bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

 


Pengarang :