Foto Facebook MDSB
PBTSELANGOR

MDSB tegaskan cabutan undi tapak ekspo telus, tiada manipulasi

SHAH ALAM, 6 MAC: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menegaskan pengundian tapak Ekspo Raya 2023 dibuat secara telus tanpa manipulasi melalui cabutan nama dan nombor petak di depan semua pemohon.

Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya menerusi kenyataan memaklumkan 245 permohonan untuk cabutan nama dijalankan pada 1 Mac manakala 273 lagi pada 2 Mac.

Menurutnya, jumlah tapak dalam pelan dinyatakan dengan jelas iaitu 83 unit khemah besar dan 90 unit khemah kecil sementara empat unit khemah besar dan dua unit khemah kecil dikhaskan untuk penganjur seperti dinyatakan dalam kontrak.

“Hanya 79 tapak khemah besar dan 88 tapak khemah kecil sahaja yang dibuat cabutan. Bilangan dan jenis kategori tapak juga ada ditunjukkan dalam pelan tapak yang dipamerkan dari awal lagi semasa permohonan dibuka.

“Taklimat kaedah penentuan tapak niaga ini telah diberikan kepada semua pemohon yang hadir pada jam 9.30 pagi di Dewan Seri Bernam sebelum proses cabutan nama dan diterangkan statistik permohonan mengikut kategori dan bilangan khemah yang akan dicabut nombor petaknya,” katanya.

MDSB menegaskan dakwaan di Facebook I LOVE SUNGAI BESAR adalah tidak benar dan berasas serta berunsur fitnah yang cuba menjatuhkan reputasi mana-mana pihak terutamanya reputasi pihaknya.

“Dakwaan pengadu berkenaan tapak premium yang dikatakan dua daripada lapan unit telah hilang tidak benar kerana sebenarnya petak tersebut diletakkan di bawah pengurusan penganjur.

“Untuk jumlah puluhan tapak khemah yang lain (sebagaimana dakwaan pengadu), tiada satu pun yang hilang atau dimanipulasi semasa cabutan tapak dilakukan.

“Sebaiknya pengadu membuat semakan kepada pihak MDSB terlebih dahulu bagi mengelakkan salah faham sendiri dan orang lain. Satu laporan berkaitan akan dibuat terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut,” katanya lagi.

Pada 4 Mac lalu, satu hantaran di Facebook I LOVE SUNGAI BESAR mempersoalkan cabutan tapak undi Ekspo Raya 2023 di Stadium Sungai Besar dan mendakwa banyak tapak hilang.


Pengarang :