Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika sesi penggulungan belanjawan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Parlimen pada 8 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Dana lebih RM4 juta naik taraf jalan, parit di Klang

SHAH ALAM, 8 MAC: Sebanyak RM2.33 juta diperuntuk kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi melaksanakan 42 projek naik taraf dan baik pulih jalan antara 2020 hingga tahun lalu.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihak berkuasa tempatan itu turut menerima dana RM1.75 juta untuk naik taraf dan baik pulih parit serta longkang melibatkan 21 projek bagi tempoh sama.

“Klang masih berstatus perbandaran dan KPKT sentiasa meletakkan fokus meningkatkan kemudahan asas rakyat seperti jalan raya yang rata dan longkang bersih untuk penyaluran peruntukan 2023.

“KPKT tiada halangan untuk mempertimbang permohonan baharu untuk menaik taraf atau baik pulih jalan raya dan longkang di kawasan Klang,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, wakil rakyat Klang V Ganabatirau membangkitkan isu berhubung kemajuan di kawasan itu tidak setimpal terutama kualiti jalan amat rendah walaupun telah dinaik taraf kepada Bandaraya.

Dalam pada itu, Kor Ming menegaskan pihaknya akan menarik semula lesen perniagaan kepada mana-mana individu yang menyalahgunakannya.

“Kelulusan dan pengeluaran lesen hanya diberikan kepada warganegara dan warga asing yang bekerja di pasar awam mestilah mempunyai permit kerja sah.

“Operasi penguatkuasaan sentiasa dilaksana bagi mengekang isu ini dan kita bersetuju dengan cadangan untuk koordinasi strategi antara beberapa kementerian supaya dapat selesaikan sebarang aduan secara tuntas,” katanya.


Pengarang :