Orang ramai melakukan aktiviti senaman dan berjoging di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau kenali sebagai Padang Polo, Ipoh pada 11 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Indeks perpaduan negara pada tahap sederhana, terkawal

SHAH ALAM, 14 MAC: Indeks perpaduan negara berada pada tahap sederhana dan terkawal, kata menteri perpaduan.

Datuk Aaron Ago Dagang berkata indeks itu mencatat peningkatan secara berperingkat bermula dari 2018 iaitu 0.56 peratus kepada 0.629 peratus tahun lalu.

“Perpaduan juga ada indeks seperti Indeks Negara Rahmah yang dilakukan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Indeks Kebahagiaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Indeks perpaduan meningkat secara berperingkat dan suka atau tidak kita masih dalam keadaan sederhana serta terkawal. Capaian indeks ini menunjukkan tidak teruk seperti diuar-uarkan negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kerajaan sedang membangun kerangka Malaysia Madani dengan menumpukan isu kebudayaan dan kemaslahatan.

“Kita perlu lihat dasar perpaduan dalam bentuk kepelbagaian dan dari dahulu ada cabarannya. Namun, kerajaan perpaduan ini telah pun memberi penekanan tentang Malaysia Madani dalam usaha menyatupadukan rakyat.

“Contohnya, 1 Mac kita lancarkan kembara perpaduan Malaysia Madani dan di dalamnya mempunyai beberapa kerangka iaitu semarak kenegaraan, perpaduan dan komuniti rahmah yang menyentuh tentang perlembagaan persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya.


Pengarang :