Sebuah tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa penumpang dilihat memasuki Stesen Keretapi Seremban pada 15 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Isu komuter Lembah Klang lewat bersifat sementara

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Isu kelewatan tren komuter kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang hanyalah bersifat sementara dan perkhidmatan itu tidak wajar dianggap sudah semakin kurang popular, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata masalah itu akan dapat diselesaikan sebaik sahaja projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 (KVDT1) siap sepenuhnya.

“Memang terdapat masalah perkhidmatan disebabkan pembinaan dan penaiktarafan landasan berkembar kita yang masih lagi berjalan dan ini beri kesan kepada operasi terutama kekerapan tren sedia ada dan sudah tentu jangka masa (menunggu) di stesen lebih lama, itu sebab ramai yang mengeluh.

“Kita akan terus berbincang dengan KTMB untuk melihat bagaimana untuk menambah kekerapan tren bagi mengatasi cabaran operasi ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Bersama Ke-10 KTMB dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan.

Beliau turut merujuk kepada Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang popular sehingga ramai mengeluh kerana tidak dapat membeli tiket.

“Jadi tak tepat mengatakan perkhidmatan KTMB tidak popular. Isu ini ia cuma melibatkan satu sektor sahaja iaitu komuter Lembah Klang sebab ada masalah operasi dan kita akui masalah ini,” katanya.

Terdahulu, perjanjian bersama itu antara lain mengandungi cadangan pelarasan gaji membabitkan kakitangan KTMB serta nilai tambah kemudahan dan faedah sedia ada kepada ahli kesatuan serta kakitangan dan ia telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 13 Jan lepas.

Mohd Rani dalam ucapannya berkata Kementerian Kewangan telah meluluskan pelarasan gaji sebanyak 12 peratus kepada semua kakitangan bukan eksekutif gred 9 dan 10 manakala pelarasan gaji sebanyak 15 peratus bagi kakitangan gred 11 dan 12.

“Kita amat bersyukur dengan adanya pelarasan gaji ini akan memberi suntikan semangat untuk semua peringkat kakitangan bukan eksekutif bagi meningkatkan prestasi kerja serta menyumbang tenaga dalam merealisasikan pelaksanaan pelan dan aktiviti transformasi syarikat.

“Kementerian Kewangan juga telah bersetuju meluluskan beberapa lagi nilai tambah kepada kemudahan dan faedah sedia ada yang telah dinikmati oleh semua ahli kesatuan dan kakitangan berjawatan bukan eksekutif,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :