Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Kerajaan tidak boleh terus berhutang, perlu hemah berbelanja

SHAH ALAM, 23 MAC: Kedudukan ekonomi negara yang bersifat defisit tidak mengizinkan kerajaan untuk terus mengambil hutang bagi tujuan pembangunan, kata menteri ekonomi.

Rafizi Ramli berkata ketika ini kadar faedah kewangan dunia adalah tinggi dan tindakan meminjam akan menyebabkan beban hutang negara diwarisi generasi akan datang.

“Dalam keadaan kita sudah lepasi fasa endemik, tindakan terbaik adalah mengimbangi antara suntikan dan bantuan, dengan mengukuhkan keadaan fiskal negara.

“Sebab itu kita ada cara untuk pulihkan kumpulan rentan serta perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) tanpa kita mengambil hutang seperti diamalkan kerajaan sebelum ini,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang ingin mengetahui langkah segera kerajaan bagi membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara.

Rafizi menambah negara juga dijangka tidak berhadapan kegawatan ekonomi pada tahun ini berdasarkan unjuran dan prestasi ekonomi yang stabil.

Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) menunjukkan perkembangan pemulihan di semua sektor sejak tahun lalu kecuali sektor pertanian.

“Bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi, kerajaan akan beri tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu mengukuhkan fiskal, menambah hasil pendapatan negara serta mengukuhkan struktur ekonomi,” katanya.


Pengarang :