Suasana Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat ketika berlangsung di Bangunan Parlimen pada 18 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Kes muflis termasuk belia turun ketara sejak 2016

SHAH ALAM, 6 MAC: Jumlah kes muflis di Malaysia turun ketara dalam tempoh beberapa tahun sejak 2016 dengan hanya 5,695 kes dilaporkan tahun lalu, kata timbalan menteri kewangan.

Menurut Datuk Seri Ahmad Maslan, kes dalam kalangan belia juga menurun apabila hanya mencatatkan 13.5 peratus kes tahun lalu berbanding 22.5 peratus pada 2021.

“Banyak tatacara yang perlu dipatuhi institusi kewangan sebelum mengisytiharkan seseorang itu muflis dan tindakan kebankrapan adalah jalan terakhir.

“Akta Insolvensi akan dipinda tetapi sebelum pindaan, menteri kewangan mengumumkan semua kes kecil kurang RM50,000 akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac,” katanya menambah 19,588 kes direkodkan pada 2016.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berhubung langkah Kementerian Kewangan untuk membantu individu muflis dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemegang status muflis yang mempunyai hutang bawah RM50,000 dilepaskan serta merta bermula 1 Mac.

Beliau berkata kerajaan juga bercadang untuk meminda Akta Insolvensi 1967 bagi memberi peluang kedua kepada kira-kira 130,000 individu yang diisytihar muflis.


Pengarang :