Sektor logistik berkembang pesat di Pelabuhan Klang dan akan diperluas ke Pulau Carey bagi menjana ekonomi negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Pembinaan pelabuhan di Pulau Carey pacu ekonomi Kuala Langat

SHAH ALAM, 8 MAC: Pembangunan Pulau Carey sebagai pelabuhan utama bakal menjadikan Kuala Langat sebagai daerah hebat dan membangun dengan pesat, kata menteri pengangkutan.

Anthony Loke Siew Fook berkata projek membangunkan Pulau Carey adalah untuk jangka masa panjang dan mengambil masa 30 tahun untuk menjadi pelabuhan utama.

“Kajian kebolehlaksanaan Pulau Carey telah dilakukan pada 2019 dan selesai pada tahun lalu. Setelah dibentang mendapati kawasan kedalaman perairannya boleh dijadikan pelabuhan dan telah maklumkan kepada Kementerian Kewangan.

“Sebab itu, sekarang kita bawa ke kabinet untuk mendapatkan hala tuju sama ada tender dibuka untuk mana-mana pihak swasta atau cara lain tetapi dasarnya mesti dilaksanakan.

“Pulau Carey terletak di Kuala Langat dan mengambil masa 30 tahun untuk siap sepenuhnya. Apabila projek dimulakan, limpahan pembangunan Kuala Langat agak hebat sebab ia libat kawasan agak luas,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, ketika pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pihaknya mendukung cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey oleh pihak swasta bagi perkembangan perdagangan antarabangsa.

Projek tersebut dijangka dapat memperkukuhkan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan hab utama untuk rantau Asia Tenggara.


Pengarang :