Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Pesakit wajar terima rawatan di klinik berhampiran rumah

SHAH ALAM, 16 MAC: Pesakit yang tinggal di kawasan Kapar boleh mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran dengan kediaman mereka demi keselesaan dan kemudahan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dasar untuk seluruh negara itu dapat memastikan penjagaan kesihatan yang berterusan selain pihaknya komited menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Anggota kesihatan di kaunter pendaftaran diingatkan tidak menolak kehadiran mana-mana pelanggan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, bagi memenuhi pendekatan polisi ‘no wrong door’.

“Tidak boleh jadikan alasan untuk menolak pelanggan yang datang dari luar kawasan operasi klinik kesihatan,” katanya di Parlimen hari ini.

Terdahulu Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menanyakan tindakan kementerian susulan penduduk mendakwa tidak dibenar menerima rawatan di klinik berhampiran rumah selepas persempadan semula pilihan raya umum ke-14.

Dr Zaliha turut meminta aduan dibuat sekiranya masih ada pusat kesihatan menolak penyakit dan tindakan tegas wajar dikenakan.


Pengarang :