LABIS, 9 MAC: Misi bantuan pascabanjir hari kedua membersihkan longgokan sisa pukal di hampir 500 kediaman mangsa terjejas membabitkan sembilan kawasan dekat sini.
EXCO pembangunan modal insan berkata pembersihan tinggalan bah berjalan lancar membabitkan 291 anggota terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor (Serve), Team Selangor dan KDEB Waste Management (KDEBWM).
“Kerja pembersihan yang bermula 10 pagi berjalan agak baik. Ini semua hasil kerja keras pihak berkaitan yang bertugas di lokasi ditetapkan.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak terlibat dalam operasi pembersihan di sini. Diharap anggota kita konsisten bagi menyelesaikan misi hingga esok,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau ditemui selepas menyertai sukarelawan membersihkan sampah pukal di Kampung Jawa Baru di sini yang turut disertai Muhammad Hanafi Ahmad.
Dalam pada itu, Khairuddin berkata penduduk setempat menyambut baik kehadiran anggota sukarelawan dari Selangor bagi membantu mempercepat kerja pembersihan.

“Penduduk mengalu-alukan kedatangan kita ke sini dan gembira kerana mereka dapat bantuan daripada kita.
“Alhamdulillah kita dapat bersihkan banyak sisa pukal sesuai dengan tumpuan pembersihan kali ini, apatah lagi ada penduduk yang masih mahu pilih barang dalam rumah sebelum dibuang,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Hanafi memaklumkan anggota tidak berdepan sebarang kekangan sepanjang operasi pembersihan dilaksanakan selain aset dan jentera yang dibawa masih dalam keadaan baik.

“Saya bangga melihat kerjasama padu diberikan semua PBT termasuk KDEBWM, Team Selangor dan Serve bagi memastikan sampah pukal dibersihkan segera dari kawasan penempatan penduduk,” katanya.
Sementara itu Dato’ Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada petugas Misi Selangor Penyayang Fasa Kedua itu yang bertungkus-lumus membantu proses pembersihan dan pelupusan sampah pascabanjir di Johor.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kawasan tumpuan pada hari kedua adalah di Chaah iaitu antara kawasan paling teruk dilanda banjir.
“Terima kasih dan syabas buat petugas Misi Selangor Penyayang Fasa Kedua ini.

“Mereka akan meneruskan misi hingga hari esok, InsyaAllah,” katanya menerusi Facebook.