Lori roro KDEB Waste Management (KDEBWM) menghantar sisa pukal di pusat pengumpulan sisa banjir ketika Misi Bantuan Selangor Penyayang: Bantuan Pembersihan Pascabah di Chaah Tengah, Segamat, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Misi pascabah Johor berjaya keluarkan 765 tan sampah di Segamat

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang yang digerakkan pada Rabu berjaya mengeluarkan sejumlah 765 tan sisa pukal banjir di Segamat, Johor kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain membersihkan kawasan, khidmat bakti lebih 300 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor (Serve), Team Selangor dan KDEB Waste Management (KDEBWM) itu menjadi sokongan moral kepada mangsa.

“Berdasarkan pengalaman kita berdepan banjir, kalau kita selesaikan masalah sampah ia dapat mudahkan proses lain dari termasuk aspek emosi dan fizikal.

“Bayangkan kalau kita (mangsa) balik rumah nampak sampah berlonggok, ia mendatangkan trauma berpanjangan selain penyakit.

“Sampah mengundang haiwan seperti tikus. Ini boleh bawa kepada penyakit berjangkit,” katanya pada sidang media Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 hari ini.

Misi bantuan pascabanjir bergerak ke Segamat pada Rabu hingga hari ini menumpukan pembersihan longgakan sisa pukal dari sembilan penempatan penduduk yang terjejas teruk akibat bencana awal bulan ini.

Pada 4 Mac misi bantuan fasa pertama merangkumi makanan, kit kebersihan, lampin pakai buang serta keperluan harian dihantar ke depoh simpanan di Muar bagi membantu mangsa banjir.


Pengarang :