AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Misi pascabah: Laluan sempit, sisa pukal bertimbun antara cabaran sukarelawan

LABIS, 11 MAC: Laluan kampung sempit, cuaca tidak menentu dan pusat pengumpulan sisa terhad antara cabaran besar berjaya diatasi anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor sepanjang tiga hari misi bantuan pascabanjir di daerah ini.

Ketua Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata 12 anggota yang digerakkan bagi menjayakan Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa dua bertungkus-lumus dalam operasi pembersihan sekitar Taman Damai Jaya 2 dan Taman Sri Chaah di sini sejak Rabu hingga semalam.

“Sebelum ini kita melaksanakan banyak misi bantuan di negeri terjejas banjir seperti Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang dengan masing-masing ada cabaran tersendiri.

“Berbeza keadaan di sini, laluan kampung dan taman agak sempit. Ia ditambah pula sisa pukal bertimbun di kiri dan kanan laluan sehingga membataskan pergerakan kenderaan besar seperti lori Roll On Roll Off (RoRo) dan jengkaut.

“Malah tengah hari semalam kerja pembersihan dihentikan lebih awal disebabkan hujan dan pusat pengumpulan sisa perlu ditutup,” kata Shamsul Omar ketika ditemui.

Semalam, MPKj mengeluarkan sebanyak 155 tan tinggalan bah membabitkan 31 pusingan dari dua kawasan berkenaan ke pusat pengumpulan sisa sementara di Pekan Chaah.

Sementara itu, Pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata laluan sempit di Kampung Jawa Baru tidak menghalang semangat 20 anggota membawa keluar 57 tan sampah pukal dari penempatan terbabit.

Menurut Asraf Mustaqim, pihaknya bergabung tenaga dengan 17 Sukarelawan Selangor (Serve) untuk mengeluarkan sisa dari lokasi berkenaan dengan 18 pusingan kutipan.

“Saya akui jentera besar agak sukar untuk masuk ke kampung itu, apatah lagi di bahagian kiri kana laluan dipenuhi pokok-pokok.Bagaimanapun masalah itu dapat diatasi,” katanya.

Bagi penolong penyelaras Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), pihaknya yang diwakili 14 anggota berganding bahu dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) membersihkan lambakan sampah pukal di Taman Mesra dan Taman Sri Setia.

Shahrulnizam Khalil berkata sejumlah 24 tan sampah dikeluarkan dari penempatan terbabit semalam dengan hanya menggunakan seunit lori Pantas MPKL dan seunit lori RoRo tiga tan milik MPHS.

“Daripada segi keperluan RoRo dan jengkaut pengorek kita memang agak terhad. Tempat pembuangan sisa juga tidak cukup untuk menampung kapasiti sampah banjir yang luar jangka,” katanya.

Seramai 291 anggota agensi Kerajaan Negeri terdiri daripada PBT, Serve, Team Selangor dan KDEB Waste Management (KDEBWM) digerakkan dalam misi bantuan pascabah fasa dua di Johor.

Misi yang berakhir hari ini menumpukan pembersihan sisa pukal di sembilan lokaliti terjejas banjir sekitar Labis menggunakan 107 aset antaranya lori tangki, jentera pengorek-kaut, kenderaan pacuan empat roda dan lori RoRo.


Pengarang :