Penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberi notis kepada pemilik kenderaan terbiar di sekitar Ampang pada 7 Mac 2023. Foto ihsan MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ: 165 kenderaan terbiar dilupus, 81 dalam proses lucut hak

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan melupuskan 165 kenderaan terbiar manakala 81 lagi dalam proses pelucuthakan setakat 7 Mac lalu.

Menurut MPAJ, kesemua kenderaan terbiar yang dilupuskan telah didaftarkan mengikut garis panduan Proses Pengurusan Kenderaan Terbiar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam projek rintis sejak 2021.

“Proses pelupusan dan pelucuthakan itu melibatkan pendakwaan di Mahkamah Majistret Ampang dan permohonan perintah lucut hak dikeluarkan mahkamah sama.

“Sehingga kini, sebanyak jumlah dinyatakan bagi kedua-dua kategori itu telah dibuat dan sedang diproses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan.

MPAJ turut menasihatkan orang ramai agar tidak membiarkan kenderaan mereka terbiar dalam jangka masa lama di tempat awam hingga menyebabkan halangan dan kacau ganggu.

Pelaku atau pemilik kenderaan boleh didakwa dan didenda maksimum RM500, selain kenderaan boleh dilucuthakkan kepada Yang Dipertua MPAJ.

“Selain itu, pemunya boleh membatalkan sendiri daftar kenderaan milik mereka dengan JPJ dan memaklumkan kepada pihak majlis bagi prosedur pelupusan,” katanya.


Pengarang :