Pegawai Penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita tayar motosikal di sebuah premis yang gagal melunaskan tunggakan cukai taksiran dalam operasi sitaan cukai dan kutipan tunggakan cukai di Ampang Waterfront pada 24 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPAJ sita alat ganti motosikal, serbu premis culas bayar cukai

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 25 MAC: Sebuah bengkel dikenakan tindakan manakala tujuh premis lagi bertindak melunaskan tunggakan cukai taksiran berjumlah RM50,522.28 dalam satu operasi kawasan komersial oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), semalam.

Yang dipertuanya berkata operasi di Jalan AWF 3, Ampang Waterfront itu melibatkan lapan premis dengan jumlah nilai tunggakan cukai taksiran RM55,211.79.

“Melalui operasi ini, MPAJ mengutip tunggakan cukai taksiran daripada tujuh premis manakala sebuah bengkel dikenakan tindakan sitaan barangan 30 unit tayar motosikal dan peralatan membaiki motosikal bernilai RM10,096.08,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim menerusi kenyataan.

Terdahulu, 14 Notis E diserahkan dan ditampal di 14 premis yang menyatakan pemilik perlu menjelaskan bayaran tunggakan dalam tempoh 15 hari bagi mengelak disita.

Daripada 14 premis itu, enam premis mematuhi Notis E dengan menjelaskan bayaran tunggakan cukai taksiran keseluruhannya berjumlah RM18,432.20.

Semalam, operasi sitaan cukai dan kutipan tunggakan cukai taksiran diketuai Jabatan Hasil MPAJ bersama 30 kakitangan termasuk anggota penguat kuasa dijalankan di lapan premis berkenaan.

Berdasarkan data MPAJ yang dikemaskini sehingga Februari 2023, RM66 juta tunggakan cukai taksiran bagi kategori kediaman manakala RM23 juta tunggakan membabitkan kawasan komersial.

MPAJ menyasarkan kutipan RM17 juta tunggakan bagi kawasan komersial dan kutipan tunggakan semasa membabitkan cukai kediaman dan komersial RM87.5 juta.


Pengarang :