SHAH ALAM, 2 MAC: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) diraikan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dalam satu majlis di [email protected] Garden, Rawang, semalam.
Yang dipertuanya berkata majlis penghargaan itu bertujuan mengiktiraf JMB dan MC yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam mengurus dan menyenggara kawasan masing-masing.
“Sistem pemarkahan dilaksana berdasarkan penarafan bintang skim pemajuan bangunan berstrata yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Sebanyak dua kategori anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Pengurusan, Penyenggaraan dan Kewangan Terbaik dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Strata (lima bintang),” kata Mohd Hasry Nor Mohd menerusi kenyataan.
Majlis Apresiasi JMB, MC 2022 disempurnakan EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail.

Tempat pertama bagi anugerah pengurusan, penyenggaraan dan kewangan terbaik dimenangi Pangsapuri Anggerik, Taman Bunga Raya diikuti Pangsapuri Seri Bakawali, Bukit Sentosa (kedua) dan Pangsapuri Seri Anggerik 3, Bukit Sentosa (ketiga).
Manakala, bagi anugerah kecemerlangan pengurusan strata (lima bintang) dimenangi oleh Pangsapuri Anggerik, Taman Bunga Raya; Pangsapuri Seri Bakawali, Bukit Sentosa dan Pangsapuri Sri Anggerik III, Bukit Sentosa.
Turut menerima anugerah sama Pangsapuri Tanjung, Bukit Beruntung; Pangsapuri Ria Genting Highlands; Pangsapuri Kenanga, Taman Bunga Raya; Pangsapuri Seri Tulip, Bukit Sentosa dan Pangsapuri Buginvilla, Taman Bunga Raya.
Pada majlis sama, MPHS turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pangsapuri Seri Bakawali, Bukit Sentosa kerana memperolehi Sijil Malaysian Good Agricultural Practice (myGAP) yang pertama di Selangor bagi kawasan pembangunan strata.
Pengiktarafan itu diberikan oleh Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri.