Foto Facebook MPHuluSelangor
PBTSELANGOR

MPHS sedia 82 tong sampah pukal mulai 31 Mac

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 28 MAC: Majlis Perbandaran Hulu Selangor  (MPHS) menyediakan 82 unit tong sampah pukal  Roll On Roll Off (RORO) bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal, perabot dan sampah kebun sempena Aidilfitri.

Pihak berkuasa tempatan (PBT)  terbabit memaklumkan penyediaan tong sampah pukal berkapasiti tiga tan itu bermula Jumaat ini sehingga 10 April depan.

“Penyediaan tong RORO ditempatkan dengan tempoh lapan hari di kawasan sekitar Hulu Selangor iaitu di Batang Kali, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu dan lain-lain kawasan.

“Tong tersebut akan ditarik lebih awal dari tempoh ditetapkan sekiranya didapati telah penuh. Ia akan diletakkan secara berperingkat di lokasi yang disenaraikan di lampiran untuk kemudahan penduduk.

“Penduduk diharap memberi kerjasama dengan membuang sampah pukal ke dalam tong RORO bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan selain memastikan kawasan sekitar bersih dan selesa,” maklumnya di Facebook.

MPHS turut mengingatkan orang ramai dilarang membuang sisa sampah domestik atau sampah dapur ke dalam tong RORO.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPHS di talian  03-60641050 untuk maklumat lanjut.


Pengarang :